Penggiat Seni...

Bicara Seni


ShoutMix chat widget

Monday, May 25, 2009

Program Pembangunan Sukan

:: RANCANGAN MALAYSIA KE SEMBILAN (2006-2010) ::
BAB 24 : MEMBANGUNKAN BUDAYA KESUKANAN


III : PROSPEK 2006-2010


24.15 Dalam tempoh RMKe-9, pembangunan sukan akan menekankan kepada penambahbaikan institusi dan organisasi untuk meningkatkan profesionalisme dan menggalakkan pencapaian yang lebih baik dalam sukan. Teras strategik pembangunan sukan adalah seperti berikut:

a) memperkukuh jentera sukan negara dan keupayaan institusi persatuan sukan untuk menggalakkan pencapaian yang lebih baik dalam sukan;

b) membangunkan budaya kesukanan di kalangan rakyat Malaysia melalui pelaksanaan pelbagai program sukan; dan

c) menggalak gaya hidup aktif dan sihat melalui sukan dan rekreasi.


Pengukuhan Jentera Sukan Negara dan Keupayaan Institusi

24.16 Dalam tempoh Rancangan, pembangunan sukan akan memberi penekanan kepada lapan sukan teras, iaitu olahraga, akuatik, badminton, boling tenpin, bolasepak, gimnastik, hoki dan skuasy. Bagi memastikan pembangunan sukan di Malaysia diselaras dan diurus dengan baik secara profesional dan menepati Akta Pembangunan Sukan 1997, Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan terus menganjur program latihan untuk pemegang jawatan dengan memberi tumpuan kepada pentadbiran dan pengurusan. Kira-kira 2,010 pegawai dijangka dilatih setiap tahun. Bagi menyeragam pengurusan persatuan sukan di seluruh negara, Akta Pembangunan Sukan, 1997 akan diperluas ke Sabah dan Sarawak.

24.17 Sektor swasta juga akan digalak untuk melengkapi usaha Kerajaan dalam menyedia kemudahan sukan dan rekreasi di kawasan yang akan dibangunkan untuk tujuan kediaman, komersil dan perindustrian. Satu rancangan jangka panjang mengenai penyediaan dan pengurusan kemudahan sukan dan rekreasi oleh sektor awam dan swasta akan digubal. Di samping itu, perkongsian dengan sektor swasta akan dipergiat bagi membantu usaha mengenal pasti bakat muda serta menyedia peluang yang lebih kepada generasi muda menyertai aktiviti sukan.

Program Sukan Massa

24.18 Pelbagai program sukan dan aktiviti rekreasi berkaitan sukan akan dianjur untuk terus meningkatkan penyertaan masyarakat dalam sukan. Usaha tersebut termasuk program pembangunan kecergasan dan aktiviti luar manakala program baru berasaskan kekuatan dan ketahanan yang boleh menarik penyertaan lebih ramai di kalangan belia akan diperkenal. Bagi mempromosi manfaat mengekalkan gaya hidup sihat di kalangan orang ramai, lebih banyak program kesedaran seperti kempen, program pendidikan kecergasan dan kalistenik di tempat kerja dan taman awam akan diteruskan dalam tempoh Rancangan. Sebanyak 50 peratus rakyat Malaysia dijangka terlibat secara langsung dalam aktiviti gaya hidup cergas dan sihat menjelang tahun 2010. Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program ini, sejumlah 24,000 jurulatih dan fasilitator dalam sukan massa akan dilantik dan dilatih melalui kursus yang akan dijalankan di dalam dan luar negara.

24.19 Program gaya hidup aktif akan diteruskan bagi membolehkan belia terutamanya di peringkat akar umbi menyertai acara sukan. Di bawah program ini, semua aktiviti sukan termasuk sukan bermotor, sukan air dan sukan udara akan digalakkan dengan sokongan sektor korporat melalui penajaan mereka. Program dan aktiviti ini akan meningkat dan menggalakkan pelancongan sukan dan menyumbang kepada pertumbuhan industri sukan.

24.20 Sebagai sebahagian usaha untuk menggalakkan penyertaan yang lebih ramai dalam aktiviti sukan, beberapa kemudahan sukan sedia ada di peringkat negeri dan daerah akan di naik taraf. Langkah akan diambil untuk memastikan penyenggaraan dan penjagaan kemudahan dilakukan dengan sempurna termasuk penguatkuasaan peraturan dan prosedur mengenai penggunaan kemudahan tersebut. Di samping itu, personel terlibat dalam penyenggaraan kemudahan akan diberi latihan berkaitan bagi memastikan mereka cekap dan berupaya untuk mengurus kemudahan tersebut. Bagi menggalak serta memudahkan penyertaan yang lebih ramai dalam sukan pada peringkat akar umbi, 13 kompleks sukan pelbagai guna peringkat daerah akan dibina. Pelbagai kemudahan untuk sukan seperti badminton, sepak takraw dan futsal serta premis untuk mengadakan mesyuarat dan lain aktiviti berkaitan masyarakat akan disedia di kompleks tersebut. Satu jawatankuasa bagi pengurusan dan penyenggaraan yang teratur bagi setiap kompleks akan ditubuhkan di setiap kawasan berkenaan.

Sukan Berprestasi Tinggi

24.21 Dalam tempoh Rancangan, usaha akan terus diambil untuk menyedia lebih ramai atlit muda untuk menyertai pertandingan pada peringkat antarabangsa melalui program latihan dan kejurulatihan yang sistematik. Sehubungan ini, Program Pembangunan Bakat akan menyediakan latihan kepada 14,570 atlit muda dalam 37 acara sukan. Bagi tujuan ini, pusat latihan dan jurulatih untuk Program Pembangunan Bakat akan ditambah bagi menghasilkan lebih ramai atlit berbakat menjadi juara dan berpotensi memenangi pingat terutamanya untuk Sukan Asia 2006, Sukan Olimpik 2008, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun 2010 serta kejohanan antarabangsa yang lain. Akses yang lebih kepada program latihan di luar negara akan disediakan untuk memastikan atlit cemerlang dalam sukan berprestasi tinggi pada peringkat antarabangsa.

24.22 Pendekatan yang lebih bersistem untuk mengenalpasti dan menyediakan atlit di peringkat sekolah rendah dan menengah akan diguna pakai bagi mewujudkan asas yang lebih baik bagi membolehkan penyertaan dalam sukan berprestasi tinggi. Bagi tujuan ini, lebih ramai guru pendidikan jasmani akan ditempatkan di sekolah rendah manakala mata pelajaran olahraga dan gimnastik akan dijadikan sebahagian daripada kurikulum pendidikan. Di samping itu, program pembangunan sukan sekolah akan terus diperkukuh termasuk menaik taraf kemudahan sedia ada, membina dua sekolah sukan baru, penglibatan dan penyertaan yang lebih cemerlang di peringkat antarabangsa serta penyediaan lebih ramai jurulatih yang berkelayakan dan berkebolehan. Sekolah akan digalakkan untuk menganjur aktiviti selepas waktu sekolah bagi menyediakan peluang kepada pelajar untuk menambah baik kemahiran mereka dalam sukan yang dikenali dan melibatkan diri dalam aktiviti baru di bawah bimbingan jurulatih yang baik. Akses yang lebih baik kepada kemudahan dan kompleks sukan akan disediakan kepada pelajar termasuk kemudahan di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan dalam usaha menggalakkan pelajar aktif dalam sukan.

24.23 Usaha akan diambil untuk menambah bilangan jurulatih yang berkelayakan memandangkan jurulatih memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan. Lebih banyak program latihan di peringkat sijil, diploma dan ijazah akan dijalankan. Satu program khas akan diperkenalkan untuk akreditasi jurulatih yang terlibat dalam menjalankan program pembangunan atlit manakala bekas atlit dan atlit sedia ada yang berpengalaman akan digalakkan untuk mengikuti latihan yang perlu untuk menjadi jurulatih. Institusi pendidikan tinggi awam akan digalakkan untuk menawarkan lebih banyak tempat kepada pelajar untuk mendaftar pada peringkat ijazah dalam bidang sains sukan serta program bagi melatih jurulatih baru.

24.24 Program Persediaan Atlit akan diteruskan bagi menyediakan atlit Malaysia ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun 2006 dan 2010, Sukan SEA pada tahun 2007 serta Sukan Olimpik pada tahun 2008. Sebagai tuan rumah Sukan Paralimpik Timur Jauh dan Pasifik Selatan untuk Orang Kurang Upaya pada tahun 2006, Malaysia akan terus menyumbang ke arah pembangunan sukan di kalangan orang kurang upaya. Acara ini akan melibatkan penyertaan 48 negara dengan 5,000 atlit dan pegawai sukan serta 10,000 sukarelawan. Bagi tujuan ini, program latihan intensif dan khusus akan dianjurkan bagi memastikan kejayaan penyertaan atlit Malaysia. Di samping itu, peranan sebagai tuan rumah acara sukan yang lain seperti sukan Bot Berkuasa Tinggi, Le Tour de Langkawi, Formula One Grand Prix dan Piala Monsoon akan meningkatkan sumbangan kepada pembangunan industri pelancongan.

1 comment:

Riverstone Eco Resort said...

Jom sertai Kreatif Survival, 3-5 Jun 2011, memang menarik .. hanya RM350 dlm:http://riverstoneecoresort.blogspot.com/2011/04/jom-sertai-kreatif-survival.html

Related Posts with Thumbnails