Penggiat Seni...

Bicara Seni


ShoutMix chat widget

Tuesday, November 17, 2009

Kesenian Tamadun Cina

Kesenian Tamadun China sememangnya telah lama mendapat perhatian dunia. Ketinggian bidang keseniannya merangkumi seni tembikar yang cukup terkenal, seni lukis, kaligrafi, seni muzik dan senibina. Penghujung Dinasti Zhou telah dikenalpasti sebagai suatu tempoh kegemilangan sejarah kesenian Tamadun China. Pada zaman inilah teknik dan pengetahuan orang Cina tentang bahan mentah telah berkembang dengan pesatnya. Pelbagai motif dan stail baru dicipta dan teknik dan material baru diperkenalkan. Perubahan ini turut dipengaruhi orang Barat.

Pembuatan tembikar-tembikar tanah liat telah bermula semasa zaman neolitik China. Seni tembikar ini terus popular hingga ke hari ini dengan kecantikan dan kehalusan buatannya. Selain seni tembikar, lukisan tamadun China juga mendapat keistimewaan dan menjadi tarikan kepada orang asing. Ia turut memberikan sumbangan yang besar kepada kesenian dunia secara keseluruhannya. Esei ini akan membincangkan tentang perkembangan dua bidang kesenian Tamadun China yang berkait rapat iaitu seni lukisan dan kaligrafi. Kedua-dua bidang ini mempunyai perkaitan dari segi penggunaan peralatan dan material yang sama.
Seni lukis Cina sememangnya dipandang tinggi oleh masyarakat Cina. Ia dikatakan berkait rapat dengan falsafah, nilai-nilai dan citarasa masyarakat Cina. Kesenian ini telah mendapat perhatian daripada pihak istana terutamanya pada zaman Dinasti Tang dan Sung di mana golongan pemerintah dan kelas elit bertindak sebagai penaung kepada seni lukis Cina ini. Dinasti Tang dikenali sebagai era lukisan bercorak agama terutamanya agama Buddha yang berasal dari India. Ini adalah kerana ia bersifat terbuka dan bersedia untuk menerima kemasukan 7 pengaruh agama di dunia pada ketika itu: Buddha, Hindu, Islam, Kristian, Zoroastrian, Manichaean dan Yahudi.

Empayar Dinasti Tang pada awal abad ke-8 adalah merangkumi Laut Kaspia ke Laut China dan dari Korea ke Annam. Hubungan perdagangan yang erat dengan Asia Tengah menjadi salah satu faktor perkembangan kesenian tamadun China pada ketika itu. Lukisan-lukisan yang dihasilkan pada zaman Dinasti Tang ini memperlihatkan kuasa dan kehebatan empayar Tang. Salah satu hasil lukisan hidup yang terbaik ialah 'Scroll of the Emperors' oleh Yan Liben yang digelar sebagai hero artis lukisan. Ia dihasilkan dalam dekad-dekad terawal Dinasti Tang. Corak lakaran dan komposisi lukisan yang dihasilkan memperlihatkan perubahan kepada seni lukisan Cina. Aspek 3-dimensi yang diimplikasikan adalah berbeza sama sekali dengan stail linear pada lukisan-lukisan era sebelumnya. Teknik yang digunakan lebih sistematik dengan penggunaan bayangan yang dipercayai dipengaruhi dari Asia Tengah dan lukisan India.
Pada zaman Dinasti Tang juga, selain munculnya era lukisan bercorak agama, ia juga menjadi penyumbang besar kepada lukisan lanskap. Wang Wei adalah merupakan salah seorang pelukis lanskap yang hebat dan juga pengasas kepada lukisam lanskap monokrom. Lanskap Cina yang pertama dihasilkan olehnya ialah lanskap kampung halamannya sendiri iaitu 'Wangchuan Villa'. Lukisan lanskap ini memberikan gambaran lanskap yang sebenarnya dengan suasana perkampungan, beberapa buah bangunan, para petani yang bekerja dan perahu memancing di sungai. Selain mempunyai cerita yang tersirat, lukisan ini juga dihasilkan dengan topografi semulajadi.

Kemuncak perkembangan bidang seni lukis Cina boleh dikatakan berlaku pada zaman Dinasti Sung di mana telah tertubuhnya akademi seni lukis yang pertama di Asia Timur dan disusuli dengan beberapa yang lain untuk melatih artis-artis lukisan. Salah ditubuhkan dan dinaungi oleh Maharaja Hui Zong. Beliau sendiri seorang pelukis dan amat mencintai kesenian dan lukisan. Pada zaman ini, lukisan mural diteruskan di samping tiga format utama lukisan Cina diperkenalkan iaitu skrol gantung ('hanging scroll'), skrol tangan ('handscroll') dan helaian ('single sheet)'. Ketiga-tiga format lukisan tersebut amat penting kepada tradisi lukisan professional dan formal. Di samping itu, cara-cara tradisi lukisan dinding di atas permukaaan kayu, plaster atau sebagainya diteruskan sehingga kegunaan ini akhirnya merosot.
Dalam abad ke-10 dan 11, perkembangan lukisan lanskap adalah begitu pesat sekali. Bagi masyarakat Cina, lanskap bukan sahaja sekadar satu gambaran yang cantik dan menarik, tetapi ia juga mempunyai falsafah dan pengertian yang mendalam. Stail lukisan lanskap Dinasti Sung terbahagi kepada 5 stail atau 'mode' berikut:
1) 'Courtly mode' - Mod ini adalah kesinambungantradisi ceritera dan seni istana Dinasti Tang dan ia selalunya berwarna.
2) 'Monumental mode' - Pada zaman Dinasti Sung Utara dan meliputi beberapa sekolah lukisan lanskap yang terawal.
3) 'Literal mode' (mod formal) - Mod ini adalah satu peralihan daripada 2 mod yang pertama kepada 2 mod yang akhir atau dengan kata lain peralihan daripada zaman Dinasti Sung Utara kepada zaman Sung Selatan.
4) 'Lyric mode' (mod berlirik) - Mod ini diadaptasikan daripada beberapa ciri mod ke-2 dan ke -3 untuk menghasilkan lukisan yang lebih berkesan.
5) 'Spontaneous mode' (mod spontan) - Mod ini menghasilkan lakaran yang lebih radikal dan spontan.

Seorang pelukis mungkin menggunakan satu, dua, atau tiga mod pada satu masa untuk menghasilkan sesebuah lukisan lanskap.

Sungguhpun seni lukis Cina seringkali menjadi kritikan Barat dan seniman Cina dikatakan tidak mempunyai pengetahuan dalam seni lukisan, lukisan tetap dipandang tinggi di dalam masyarakat Cina. Lukisan bagi mereka sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan mereka. Setiap lukisan mempunyai maksud tersendiri dan mampu memberi ketenangan kepada mereka. Inilah yang membezakan lukisan Cina dengan lukisan bangsa lain di mana makna sesebuah lukisan itu adalah lebih penting daripada rupanya.

Karya-karya Cina amat kuat dipengaruhi fahaman Taoisme yang mengajar kehidupan ringkas dan spontan, serta mengikut kehendak alam semulajadi. Oleh yang demikian, lukisan Cina dilukis ringkas dengan tidak menggunakan banyak warna. Peralatan yang digunakan juga agak mudah seperti dakwat hitam dan berus yang diperbuat dari buluh berbulu kambing. Lukisan-lukisan dihasilkan pada kain sutera atau kertas serap yang diperbuat dari pulpa buluh. Pada zaman klasik, lukisan-lukisan Cina boleh didapati di dinding-dinding istana. Dakwat hitam yang berair membolehkan tangan bergerak dengan bebas dan pantas menghasilkan lukisan secara spontan.

Lukisan Cina biasanya mempunyai satu subjek sahaja. Pelukis-pelukis Cina akan terlebih dahulu menghayati semangat subjek sebelum melukis. Pemandangan semulajadi, binatang seperti ikan, bunga dan manusia adalah di antara tema-tema utama dalam lukisan Cina. Kuda, contohnya, selain berperanan penting di dalam ketenteraan Dinasti Tang dan sukan-sukan rekreasi seperti polo dan memburu, ia juga popular sebagai salah satu subjek lukisan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails