Penggiat Seni...

Bicara Seni


ShoutMix chat widget

Friday, May 22, 2009

Pua Kumbu

Pengenalan
Tenunan kain pua atau dikenali juga sebagai tenunan ikat adalah seni tenunan yang dihasilkan oleh wanita Iban di Sarawak. Ia adalah hasil tenunan daripada benang kapas yang ditenun menggunakan 'Kek Iban'. Pua Kumbu pula merupakan salah satu jenis kain pua yang popular di kalangan masyarakat Sarawak. Kain tenunan ini bewarna kemerah-merahan atau coklat tua. Rekacorak yang biasanya digunakan ialah anak kunci, lengkar, rombus atau batu berlian dan panjang kain pua ini lebih kurang 40 hingga 50 cm. Rekacorak ini dipercayai dari pengaruh kebudayaan Annam (Vietnam) dalam abad ke-17 sebelum Masihi.
Motif
Pua kumbu ditenun oleh wanita yang sudah mahir menenun kerana pua jenis ini adalah paling rumit untuk ditenun. Bagaimanapun, motif-motif itu kerap dikaitkan dengan kepercayaan dan pantang larang mereka. Antara motif-motif yang digunakan:
Motif Engkeramba
Gambaran figura roh yang dikenali sebagai engkaramba ditenun dengan teknik ikat. Motif ini dipercayai berkuasa menghalang bencana atau kuasa jahat daripada menyerang tanam-tanaman dan penghuni rumah panjang. Biasanya, motif engkeramba hanya boleh ditenun oleh anak dan isteri ketua rumah panjang sahaja. Ini adalah kerana mereka benar-benar mahir menenun cara ikat.
Motif Fauna


Pua Kumbu
Antara motif binatang yang digunakan ialah motif buaya, ular, katak, harimau dan tikus kasturi, rusa dan serangga. Motif buaya dipercayai mempunyai kuasa untuk menjaga tempat berhuma (tanaman padi). Adalah menjadi kepercayaan kaum Iban bahawa buaya adalah jelmaan saudara-mara mereka. Motif ular pula tidak ditenun dengan sewenang-wenangnya kerana binatang ini membawa petanda buruk. Kemunculan ular dikaitkan dengan kuasa jahat atau hantu. Motif katak pula ditenun dengan gaya seperti manusia. Menurut kepercayaan kaum Iban, selampai iaitu roh perempuan sering menjelma sebagai katak. Selampai dikatakan mempunyai kuasa menciptakan bayi. Motif harimau dan tikus kesturi sering dikarang dalam bentuk abstrak. Dipercayai orang yang memakai kain tenunan ini dianugerahkan keberanian. Burung pula dikatakan pembawa alamat baik. Kain yang mempunyai motif burung dipercayai boleh menyembuhkan penyakit dan mendatangkan kekayaan dalam apa pekerjaan. Motif rusa pula mendatangkan kejayaan atau tuah semasa berburu. Motif-motif serangga seperti labah-labah, kunang-kunang, kala jengking dan lipan sering dimasukkan dalam tenunan pua.
Motif Flora
Tumbuh-tumbuhan juga turut digunakan sebagai motif tenunan kain pua. Antara tumbuh-tumbuhan yang sering ditenun ialah rotan, pucuk paku, pucuk rebung, buah-buahan, biji benih dan bungha-bungaan.
Antara motif yang ditenun ialah motif bulan, awan larat, alat tenun dan sebagainya.




Motif-motif Pua Kumbu
Proses Pembuatan
Ada dua cara yang digunakan untuk menenun pua iaitu cara ikat dan cara pilih.
Cara Ikat


Kek Iban
Benang kapas yang hendak ditenun diikat pada beberapa bahagian tertentu dengan tujuan menahan pewarna daripada meresapi bahagian tersebut. Ikatan dibuat mengikut corak yang dikehendaki. Kadang-kadang proses ini dibuat beberapa kali mengikut corak dan warna yang diingini. Warna-warna yang sering digunakan adalah warna coklat tua, biru kehitaman dan merah bata. Apabila proses mewarna sudah selesai, benang-benang kapas itu dikeringkan. Setelah benang betul-betul kering barulah ikatan-ikatannya dibuka. Kemudian benang itu ditenun. Tenunan dibuat secara kosong tanpa menyelang-nyelikan benang bagi menghasilkan corak. Corak yang terhasil adalah daripada kesan proses ikat.
Cara Pilih
Benang kapas yang hendak ditenun dicelup ke dalam pewarna. Kemudian benang-benang itu dikeringkan. Setelah kering, benang-benang itu ditenun. Selain daripada benang-benang yang diwarnakan, benang kosong iaitu benang yang tidak bewarna juga digunakan. Tenunan dibuat dengan cara menyelang-nyelikan benang di atas tenunan kain dasar untuk membentuk corak kain. Dengan itu terhasillah corak-corak kain yang berbentuk timbul.



Menenun Pua Kumbu
Penggunaan
Pada zaman dahulu pua kumbu digunakan di dalam adat istana sahaja. Sekarang penggunaannya telah diubahsuai menjadi hiasan dinding, alas meja, beg dan lain-lain rekacorak yang baru.

No comments:

Related Posts with Thumbnails