Penggiat Seni...
Bicara Seni
Friday, May 8, 2009
SMK Syed Hassan cipta sejarah
SKUAD B-18 SMK Syed Hassan muncul juara Kejohanan Bola Sepak MSSM Perlis baru-baru ini.
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan mencipta sejarah tersendiri pada Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Perlis.
Kejayaan bersejarah itu dicatat di Stadium Utama Kangar, Sabtu lalu yang menyaksikan pasukan Bawah-15 dan B-18 SMK Syed Hassan muncul juara.
Bagi kategori B-15, SMK Syed Hassan membuktikan kehebatan apabila menewaskan SMK Syed Alwi 2-1 pada perlawanan akhir menerusi jaringan Mohd. Norhamizaref Hamid dan Muhammad Amirul Hussin.
Sebelum itu, pasukan B-15 SMK Syed Hassan membelasah SMK Arau 9-0 pada pusingan kedua, menang 6-0 ke atas SMK Agama Arau 6-0 (suku akhir) dan menewaskan SMK Tengku Suleiman 6-0 (separuh akhir).
Sementara itu, kehebatan yang dipamerkan pasukan B-15 turut diekori 'abangnya' yang menjuarai kategori B-18.
Pada perlawanan akhir, SMK Syed Hassan tidak berdepan masalah menewaskan SMK Teknik 3-0.
Muhamad Hazwan Rahman muncul wira SMK Syed Hassan apabila meledak dua gol sementara satu lagi gol hadir menerusi jaringan Syazwan Shahidan.
Pada separuh akhir, SMK Syed Hassan menang tipis 1-0 ke atas SMK Kuala Perlis selepas menewaskan MRSM Beseri 3-1 pada aksi suku akhir.
"Ini adalah kejayaan yang besar bukan sahaja buat pemain tetapi juga seluruh warga SMK Syed Hassan," jelas pengurus pasukan, Che Yusmadi Che Mohamed Yusoff.
"Saya akui kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak selain pengalaman yang dimiliki pemain-pemain kami ketika menyertai Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)."
Dengan kejayaan itu, SMK Syed Hassan akan mewakili Perlis ke kejohanan peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Kelantan pada 1 Jun depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment